Semesta Jiwa

oleh sorensen pada 15 Mac 2010 dalam


Semesta Jiwa

Bersembunyi ke dalam diri
Tersesat dalam perangkap rasa maha luas
Manis gelak tawaku bergema
Tenang halwa telingamu mendengar
Perih hati siapa mampu menduga
Namun andai akulah penyinar hidupmu
Takkan kubiar mendung menyelubung.

Tak akan lagi.

Cukuplah
Kerana untukku aku hanyalah aku
Andai sinar mataku membawa bahagiamu
Akan kutahan segala sepi
Akan kusimpan sakit perit jiwaku
Hadir hilang datang dan pergi
Itu kehendak yang maha Hakiki.

Alun suara, melenyap kesepian melanda
Hidup yang mati, terasa berdenyut kembali
Andai akulah matahari
Mengapa mahu bulan jadi pengganti
Bayang cahaya hanya di mata
Namun selamanya takkan mampu menerangi.

Matahari itu
Memberi kehangatan dalam sanubari
Mencairkan kedinginan perasaan
Menyuluh masa menerangi peribadi
Melengkapkan cantuman satu hati
Yang pernah bertaburan menghiasi malam hari
Umpama bintang di langit tinggi.

Tiada lagi
Sepi meracuni diri nan seorang
Usah bimbang
Telah kukutip semuanya
Dan telah kusimpan
Jika pergi hatta kembali
Semuanya tetap akan terkunci.

Manisnya kenangan itu
Sentiasa tertayang di sudut jiwaku
Andai cuma itulah yang ada
Aku pasrah dengan ketentuan-Nya.

MGB, 150310.


Comments seterusnya...