'Lautan berlian' di planet Uranus dan Neptune?

oleh sorensen pada 31 Julai 2010 dalam

Apabila disebut tentang lautan, pasti terbayang di fikiran anda samudera luas yang dipenuhi air dan hidupan-hidupan laut bukan? Namun pernahkah anda terfikir, sekiranya lautan yang ada di planet lain bukan terdiri daripada air tetapi berlian?

Kajian terhadap perkara ini dilakukan dengan mengambil kira takat lebur berlian secara terperinci. Sifat berlian adalah sama seperti air apabila ia lebur, iaitu bahagian yang beku akan timbul di atas bahagian cair. Berlian sangat keras menyebabkan ia sukar untuk dicairkan. Mengira takat lebur berlian juga amat sukar kerana apabila ia dipanaskan dengan suhu lampau, ia akan berubah bentuk menjadi grafit. Bermaksud, larutan yang terhasil adalah larutan grafit kerana amat sukar untuk mencairkan berlian tanpa mengubah bentuknya kepada grafit terlebih dahulu.

Namun demikian, saintis telah menyelesaikan masalah ini dengan mendedahkan berlian kepada suhu lampau melalui pancaran laser. Hasilnya, berlian berjaya dileburkan pada tekanan 40 juta kali ganda daripada tekanan paras laut bumi. Apabila tekanan dikurangkan kepada 11 juta kali ganda dan suhu menurun kepada 50,000 darjah, ketulan-ketulan berlian mulai timbul. Namun sesuatu yang tidak dijangka oleh para saintis adalah, walaupun suhu peleburan semakin diturunkan tetapi suhu berlian tersebut tidak berubah, dan semakin banyak ketulan-ketulan berlian terbentuk. Ketulan ini tidak tenggelam tetapi timbul di atas berlian yang cair, menghasilkan 'aisberg berlian'.

Planet Uranus dan Neptune

Diketahui bahawa suhu dan tekanan lampau seperti ini hanya boleh didapati di planet gas gergasi seperti Uranus dan Neptune. Kedua-dua planet ini dianggarkan terbentuk daripada 10% karbon. Lautan cecair berlian di planet-planet ini dikatakan mampu membias dan mencondongkan lapangan magnetik keluar daripada posisi putaran planet tersebut.

Satu-satunya cara yang boleh digunakan para saintis untuk memastikan 'lautan berlian' wujud di atas planet-planet gas ini adalah sama ada dengan menghantar kapal angkasa ke arah salah satu daripadanya, ataupun dengan melakukan simulasi melalui keadaan di bumi. Kedua-dua cara ini adalah sangat mahal dan akan mengambil masa bertahun-tahun untuk dilaksanakan.

Sekiranya ini benar, mungkinkah suatu hari nanti akan berlaku perebutan hak di antara manusia terhadap hasil semulajadi kedua-dua planet ini? Wallahu'alam.

Dipetik, diterjemah dan diubahsuai daripada Physorg.com.


Comments seterusnya...