Graduasi...

oleh sorensen pada 13 Oktober 2010 dalam ,

Beratur di bawah panas terik di luar, menunggu giliran masuk ke dalam dewan untuk majlis perarakan para graduan disaksikan oleh para ibu bapa dan sekalian ahli keluarga. Tubuh lencun di dalam busana formal dilitupi jubah tebal, dan dahi dibasahi keringat dek mortar board yang ketat disarungkan ke kepala.

Bagi yang pernah bergraduasi sebelum ini pasti tersenyum membaca pernyataan itu. Kerana bagi yang pernah mengalaminya, sebegitu jugalah yang telah aku lalui kelmarin.

11 Oktober 2010. Sesi keenam Majlis Konvokesyen UPM ke-34.

Segala penat lelah mengatur perancangan untuk majlis ini dirasakan begitu berbaloi. Aku beruntung. Sangat-sangat beruntung kerana setelah keluarnya dari dewan itu, ada keluarga di luar sedang menanti. Dan dirasakan satu kemegahan dalam diri tatkala memperkenalkan ibu dan abang kepada sekalian teman. Sehingga kini aku merasa sebak setiap kali teringat semasa abangku meraikan majlis yang sama 6 tahun lalu tanpa kehadiran ibu di sisi. Keadaan tidak mengizinkan pada waktu itu untuk membawa ahli keluargaku dari Sarawak datang bersama, dan barulah aku faham sekarang mengapa abangku begitu berkeras untuk membawa ibuku turut hadir pada majlis itu semalam.

Kerana jubah yang disarungkan itu tiada maknanya, jika tiada potret orang yang paling penting di dalam hidup ini diabadikan bersamanya.

Dan kerana itulah dalam kekalutan mengejar masa untuk pulang selepas tamat sidang semalam, aku tebalkan wajah ini dalam keadaan masih bersarungkan jubah itu ke Sri Serdang semata-mata untuk pergi ke studio gambar untuk merakamkan foto konvo profesional bersama keluarga. Ibuku juga seolah-olah faham apa yang aku rasakan ketika itu, tidak membantah. Kasihan ibu terpaksa ikut menapak jauh ke studio itu, tapi demi sekeping foto graduasi satu-satu anaknya yang tinggal ini dia tahankan lelahnya.

Hanya selepas keluar dari studio itulah baru aku tanggalkan mortar board dan jubah itu. Sudah tiada apa lagi yang aku inginkan. Oh, mungkin cuma satu.

Membawa foto itu pulang ke rumah, melihat ayahku memahatkannya ke dinding dengan satu senyuman kepuasan di bibirnya, dan satu rasa kebanggaan dalam jiwanya.


Comments seterusnya...